Sabtu, Oktober 03, 2009

Bangunan runtuh di Fair Park


Gambar dirakam baru berlaku 10 minit





MYVi yang ranap mengorbankan 2 orang lelaki melayu berumur 24 tahun.

BERITA DARI UTUSAN MALAYSIA
2 terbunuh kereta dihempap bangunan
03/10/2009 12:41am

Oleh Zaini Raban dan Amizul Tunizar Ahmad

IPOH 2 Okt. - Dua terbunuh manakala seorang cedera parah apabila kereta mereka dihempap sederet bangunan lama dua tingkat yang runtuh secara tiba-tiba di Jalan Kamaruddin Isa di sini kira-kira pukul 9.30 malam ini.

Ketika kejadian, tiga remaja berusia dalam lingkungan 20-an yang menaiki kereta Perodua Viva berwarna putih itu sedang dalam perjalanan dari Taman Fair Park menuju ke pusat bandar.

Pemandu kereta tersebut cedera parah manakala dua rakannya yang menumpang mati di tempat kejadian.



Sehingga pukul 12.15 malam ini, identiti semua mangsa masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa kira-kira pukul 10.45 malam.

Menurutnya, semua mangsa daripada kenderaan berkenaan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, tidak jauh dari tempat kejadian.



Katanya, runtuhan itu turut mengenai tiga buah kenderaan lain iaitu kereta jenis Perodua Kenari, Perodua Kelisa dan Honda Accord.

Bagaimanapun, katanya, semua pemandu dan penumpang tiga kenderaan itu tidak mengalami kecederaan serius.

``Setakat ini polis masih menyiasat punca kejadian dan kita difahamkan kerja-kerja meruntuhkan bangunan lama ini memang sedang dijalankan sejak pagi tadi.

``Jadi kita mahu tahu sama ada kerja-kerja meruntuhkan bangunan lama ini mengikut prosedur yang sepatutnya atau tidak,'' katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.



Zulkifli berkata, pihaknya juga sedang menyiasat siapakah pemilik bangunan tersebut bagi mendapatkan penjelasan secara lebih menyeluruh.

Katanya, bagi menjaga keselamatan awam, jalan tersebut akan ditutup kepada orang ramai sehingga kerja-kerja membersihkan runtuhan selesai dijalankan.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sebuah kren yang dipercayai menjalankan kerja-kerja meruntuhkan tujuh pintu bangunan lama dua tingkat itu masih berada di tempat kejadian.

Kedudukannya begitu hampir dengan kereta Perodua Viva tersebut serta tiga lagi kenderaan yang terlibat dengan insiden berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang turut melawat tempat kejadian berkata, bangunan itu dimiliki oleh beberapa individu berlainan.

Katanya, difahamkan semua pemilik sudah bersetuju untuk merobohkan bangunan tersebut bagi membina bangunan baru.

``Saya juga difahamkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sudah memberi kelulusan untuk kerja-kerja merobohkan bangunan ini tetapi saya tetap mahu siasatan menyeluruh dibuat dengan segera.

``Ini termasuklah bagi menjawab persoalan kenapa kerja-kerja meroboh masih dilakukan pada waktu malam tanpa pemantauan MBI,'' katanya.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan kerajaan negeri berjanji membantu keluarga mangsa yang terlibat.

- Utusan

0 ulasan:

Catat Ulasan